09 February 2011

Sungai Kertas - Lori sampah haram curi masuk

Siri Liputan Isu Tapak Pembuangan Sampah Haram Kampung Sungai Kertas: Petikan dari Sinar Harian Online.

BATU CAVES – Biarpun larangan keras diberikan kepada pengelola sampah haram di Sungai Tua Gantian, dekat Kampung Sungai Kertas, di sini, namun masih ada lori sampah yang memasuki ke kawasan itu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Jaid Ehsan berkata, tindakan segelintir pengelola sampah yang masih berdegil membuang sampah di situ berlaku semasa ketiadaan kawalan penguatkuasa MPS.

“Semasa kita tempatkan anggota penguatkuasa MPS di kawasan tapak sampah itu dari jam 9 pagi hingga jam 9 malam, selama sebulan lalu, tiada pula mereka yang membuang sampah.

“Tetapi nampaknya ada yang masih curi-curi masuk. Kita juga harap aktiviti mereka ini dapat disekat segera memandangkan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Gombak sekarang ini sedang dalam proses merampas tanah pemilik membenarkan aktiviti itu dilakukan,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu pembakaran sampah haram di Kampung Sungai Kertas, selepas Mesyuarat Penuh MPS Bulan Januari, di bangunan MPS, di sini.

Ditanya mengenai perkembangan penyelesaian isu pembakaran menyebabkan pencemaran habuk dan bau kepada penduduk dan pelajar sekolah sekitar katanya, asap di tapak pelupusan sampah haram itu kini sudah berkurangan.

Penduduk berhampiran ditemui, Sham Abdullah, 49, berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat mengadakan pemantauan berterusan di kawasan terbabit setiap masa.

“Memang sejak empat tahun lalu, Sungai Tua Gantian ini ‘terkenal’ sebagai tempat pembuangan sampah haram sehingga memberikan kesan kepada penduduk sekitar dengan masalah bau, nyamuk, lalat dan lain-lain.

“Pihak Kerajaan Negeri juga difahamkan sudah keluarkan jutaan ringgit bagi membaik pulih tanah dan kawasan di sini,” katanya.

Menurut Sham yang juga memiliki tanah berhampiran kawasan tersebut, terdapat pemilik tanah membenarkan aktiviti pelupusan sampah di situ walaupun tahu ia suatu kesalahan, berikutan bayaran lumayan diterima.

Katanya, kos satu lori sampah dikutip pengelola antara RM25 hingga RM30 dan semasa tiada pantauan, jumlah lori masuk membuang sampah di kawasan itu boleh mencapai ratusan sehari terutama tengah malam dan awal pagi.

“Tapak sampah ini terbakar pula disebabkan tindakan mereka mahu mencari pendapatan mengitar semula dengan membakar wayar dan sebagainya bagi mengambil komponen besi, timah dan lain-lain.

“Kita juga difahamkan ia mungkin disebabkan gas metana dari bawah bekas bukit sampah,” katanya kepada Sinar Harian.

Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Zon 15 MPS, Mohammad Faizal Ismail, 37, pula berkata, pihaknya berharap tindakan konsisten dapat dilakukan bagi memastikan kebakaran dan pembuangan sampah secara haram di situ dihentikan serta merta.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari berkata, kawasan sampah itu sudah ditutup pada 2008, namun pengelola sampah haram kembali beroperasi secara ‘senyap’ bermula pertengahan tahun lalu. 

No comments:

Post a Comment